Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh KEMAS dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Konsep Tabika KEMAS ialah ‘Belajar Melalui Bermain’ yang diselaraskan dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul). Konsep ini bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak menguasai kemahiran asas dan pengalaman yang akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah kelak.Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan kecemerlangan potensi individu kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak ditingkatkan dengan pemupukan dan pengukuhan kepada amalan nilai-nilai murni melalui usaha-usaha dan program yang terancang dan berstruktur. Usaha ini bertujuan melahirkan pewaris cemerlang negara yang dibimbing dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang sihat, ceria dan selamat di samping kerjasama erat dengan ibu bapa.Tabika KEMAS Sri Seroja telah di tubuhkan sejak tahun 1981. Tabika ini yang dahulunya di kenali dengan nama Tabika Kg. Bertam Baru. Bagi Ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka untuk belajar di awal usia, mereka akan menghantar anak-anak mereka ke Tabika Sri Seroja ini ataupun ke Pra Sekolah. Bilangan murid tabika ini sehingga hari ini adalah seramai 35 orang iaitu yang berumur dari 5 tahun ke 6 tahun sahaja. Seperti tabika KEMAS yang lain, Tabika KEMAS Sri Seroja juga mempunyai 2 orang pemaju atau di kenali sebagai cikgu tabika yang terdiri daripada penduduk tempatan yang berasal dari Kg. Bertam Baru. Puan Siti Arfah Binti Enchie Jaafar merupakan Pemaju Masyarakat atau Cikgu Tabika dan di bantu oleh Pembantu Pemaju Masyarakat atau Pembantu Cikgu Tabika iaitu Puan Norizan Binti Che Mat.
(Sumber: http://www.kemas.gov.my/)
